Tuesday, January 25, 2011

Apakah Pendidikkan Yg Paling Utama Utk Anak2

Nak didik apa dulu. ABC ke, 123 ke atau apa? Inilah antara persoalan yang dilontarkan kepada kami. Melalui catatan ringkas ini kami cuba mengulas tentang pendidikan yang pertama dan utama serta beberapa persepsi yang menyebabkan manusia muslim kadang-kadang alpa memberikan perhatian tentangnya.
Rakan-rakan sekalian, sebenarnya perkara pertama dan utama dalam pendidikan anak-anak muslim adalah pendidikan iman.
Iman adalah teras pembangunan insan setiap manusia. Iman adalah senjata dan santapan rohani yang disediakan oleh Yang Maha Mencipta untuk menyinari jiwa makhlukNya yang bernama manusia. Iman adalah modal terbesar yang menentukan jatuh bangunnya seorang insan, bahkan menentukan masa depan sesebuah keluarga, masyarakat dan negara. Iman jugalah yang menjadi satu-satunya pokok persoalan dalam menetapkan nasib berkekalan buat setiap sekujur tubuh manusia di akhirat nanti.
Jika murni jiwanya dengan iman, maka dia layak menghuni syurga buat selama-lamanya. Jika kosong hatinya dari nur iman, maka dia akan terperosok dalam lubang neraka sampai bila-bila.
Wajah putih bersih anak-anak kecil menggambarkan betapa luhurnya naluri keinsanan yang ada padanya. Sebagaimana sabda Junjungan SAW, setiap bayi yang lahir itu suci seumpama kain putih. Tiada sebarang cacat dan calit. Maka, para ibu bapa, penjaga dan pendidiknyalah yang akan menentukan warna kain yang putih itu. Putih bersih itu adalah ibarat kepada fitrah yang berpaksikan kemurnian iman.
Sejak dari awal lagi, manusia bermula dengan beriman sebagai sebahagian dari fitrahnya. Fitrah yang terbina melalui janji datuk sekalian manusia iaitu Adam a.s yang menzahirkan imannya di hadapan Allah. Juga fitrah yang bertapak dari janji keimanan setiap roh manusia sewaktu mereka masih di alam roh lagi.
Maka, para ibu dan bapa selaku pendidik tidak perlu mencari apa-apa warna lain, atau membiarkan sesiapa mewarnakan anak-anaknya dengan warna yang lain. Biarlah iman terus melebar dan subur sebagai perisai dan pencuci dalam jiwa anak-anak bagi memastikan warna putih bersih itu sentiasa terjaga dari sebarang kotoran.
Oleh itu, pendidikan keimanan bermaksud memupuk jiwa dan perlakuan anak-anak agar meyakini dengan seteguhnya dasar-dasar aqidah, seterusnya menjelmakan keyakinan itu dalam bentuk ibadah dan akhlak yang luhur. Asas-asas keimanan meliputi keyakinan kepada Allah, Rasul, Malaikat, Akhirat, Kitab dan qadar qadar.
Pendidikan keimanan ini memerlukan pendedahan bijaksana dan ingatan berterusan lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan soal-soal ghaib. Soal ghaib bermaksud, perkara yang tidak dapat atau belum dapat dilihat, didengari atau dirasai oleh pancaindera manusia. Bagi memahamkan anak-anak dengan perkara ghaib ini, para ibu bapa tentunya perlu terlebih dahulu mempunyai keyakinan dan kefahaman yang jitu.
Mempupuk keimanan yang mantap ini harus bermula sejak dari kanak-kanak itu masih kecil. Ada di kalangan ibu bapa yang membiarkan anak-anak tidak memahami tauhid, dan mengharapkan agar perkara itu dipelajari bila mereka menjejak kaki ke sekolah kelak.
Ada yang memandang rendah kepada anak-anak dengan menyangka bahawa mereka terlalu muda untuk memahami soal aqidah ini. Tidak kurang juga yang tidak membuka mulut kepada anak-anak dalam soal akidah ini lantaran sikap tidak ambil pusing. Selain itu terdapat pula ibu bapa yang tidak menceritakan soal aqidah kerana mereka tidak mempunyai kebijaksanaan untuk menjelaskan persoalan ini menggunakan bahasa anak-anak dan pendekatan yang serasi dengan tahap daya fikir mereka.
Inilah salah tanggapan yang menyebabkan pendidikan iman ini diabaikan. Insyallah dalam catatan berikutkan kami akan cuba mengupas beberapa aspek keimanan yang perlu diserapkan kepada anak-anak.
- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar di SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Kata_kata Hikmah

Aku teliti semua sahabat,dan tidakku temui sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah.Akufikirkan tentang pakaian,tapi tidakku temui pakaian yang lebih baik dari daripada takwa.Aku renung semua jenis amal baik,namun tidak ada yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik.aku cari segala bentuk rezki,tapi tidakku temukan rezki yang lebih baik daripada sabar..
(Khalifah Umar)