Tuesday, January 25, 2011

Beza Anak lelaki Dan Anak Perempuan

Soalan : Assalamualaikum Puan Jamilah. Saya mempunyai sepasang anak kembar, seorang lelaki dan seorang perempuan, akan masuk Darjah Satu tahun ini. Masalah saya ialah anak perempuan saya sejak di tadika lagi jauh mendahului abang kembarnya dari segi prestasi sekolah. Dia cepat pandai membaca, mengira dan sebagainya berbanding abang kembarnya yang malas membaca dan jauh lebih suka menghabiskan masa bermain terutama di padang permainan. Saya hairan bagaimana ini boleh berlaku sedangkan mereka sebaya, sekelas dan diajar oleh guru yang sama.
Jawapan :
Waalaikumsalam.  Secara amnya, pakar pskologi berpendapat memang terdapat perbezaan di antara anak lelaki dan perempuan. Walaupun kedua-dua anak lelaki dan perempuan mengalami proses pembesaran, mereka mengalaminya pada masa yang berbeza dan tidak semestinya pada usia yang sama.
Sebaya Tetapi Tidak Sama
Kajian menunjukkan bahawa dalam beberapa perkara, anak perempuan membesar lebih cepat daripada anak lelaki, manakala dalam perkara-perkara lain, anak lelaki pula membesar lebih cepat berbanding anak perempuan. Contohnya, semasa kecil, anak perempuan mempunyai daya pendengaran yang lebih kuat manakala anak lelaki pula mempunyai daya penglihatan yang lebih kuat. Tetapi ini hanyalah satu kecenderungan dan tidak semestinya dialami oleh setiap anak lelaki dan perempuan.  Begitu juga kebolehan membaca, menulis dan sebagainya. Perbezaan-perbezaan ini disebabkan cara otak anak perempuan dan anak lelaki itu berkembang. Namun setiap anak membesar mengikut rentak atau blue print nya sendiri. Tiada pelan mutlak untuk peringkat pembesaran anak lelaki mahupun anak perempuan.
Anak Lelaki Kurang Bijak?
Di Malaysia, terdapat kecenderungan di kalangan sesetengah ibu bapa dan tenaga pengajar yang mengatakan anak lelaki kurang bijak berbanding anak perempuan.
Perlu diingat, murid lelaki biasanya memerlukan suasana pembelajaran yang lebih interaktif. Mereka merasa resah dan gelisah serta sukar menerima apa yang diajar sekiranya terpaksa berdiam diri dan hanya mendengar apa yang diajar guru. Sukar bagi seorang anak lelaki untuk belajar jika cara penyampaian membosankan.  Apa yang mahu saya tekankan di sini ialah, kaedah pembelajaran yang boleh menarik minat anak lelaki tidak semestinya sama dengan anak perempuan.
Pun begitu, kajian menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di dalam apa yang boleh dipelajari oleh anak lelaki atau anak perempuan. Kedua-duanya sama mampu mencapai apa yang mereka impikan asalkan sanggup berusaha bersungguh-sungguh.
Berikan Tumpuan Seimbang
Berikan perhatian kepada anak lelaki sama seperti yang diberikan kepada anak perempuan.  Galakkan dia bercerita tentang dirinya, kawan-kawannya dan saat-saat gembiranya setiap hari. Kenal pasti aktiviti yang diminatinya. Sekiranya dia gemar melakukan uji kaji sains contohnya, belilah barang-barang yang diperlukan agar dia boleh melakukan uji kaji itu sendiri. Secara amnya, anak lelaki gemar melakukan aktiviti-aktiviti yang menggunakan tangan. Mereka suka membina dan memotong bahan-bahan dan melihat sendiri hasil kerja tangan mereka terbentuk. Paling penting, lakukanlah aktiviti-aktiviti ini bersamanya.
Anak Lelaki dan Minat Membaca
Yang saya maksudkan dengan 'membaca' ialah: Memupuk tabiat suka membaca selain daripada buku sekolah. Ini kerana, apa yang ditemui dalam buku-buku sekolah amat terhad dari segi kandungannya.
Beberapa idea yang boleh dilakukan untuk menggalakkan anak lelaki membaca:
  • Wujudkan suasana rumah yang mesra pembaca. Sediakan ruang membaca. Letakkan lebih banyak rak buku dan majalah di rumah. Pergilah membeli-belah buku bersama-sama dengan anak lelaki anda. Pekalah dengan pesta-pesta buku.Perkenalkan dia kepada apa jua buku-buku yang terdapat di luar sana, sesuai dengan umurnya.
  • Membaca di hadapannya. Anak lelaki perlu melihat ibu bapa mereka juga membaca. Ceritakan apa yang menarik di dalam buku atau majalah yang dibaca.
  • Bacakan buku untuknya. Setiap hari, luangkan masa untuk membaca buku kepada anak anda. Minta dia pilih buku ceritanya sendiri. Sesetengah ibu bapa suka membaca untuk anak kecil tetapi berhenti berbuat demikian apabila anak tersebut melangkah ke alam persekolahan. Alasan yang diberikan ialah kerana anak itu sudah pandai membaca sendiri. Sebenarnya saat-saat apabila seorang ibu atau bapa membacakan sesebuah buku cerita adalah sangat istimewa bagi seseorang anak itu. Bacalah dengan intonasi yang menarik, mengikut jalan cerita, bukan setakat untuk melepaskan batuk di tangga. Anak bongsu saya sudah berusia 12 tahun tetapi sehingga hari ini saya masih membaca novel kegemarannya untuknya apabila diminta!
  • Jangan paksa anak lelaki membaca sesuatu yang tidak diminatinya. Seboleh-bolehnya, bantu anak lelaki untuk memilih sendiri buku-buku kegemarannya. Jadikan pengalaman membaca sesuatu yang menyeronokkan.
Anak Lelaki Dan Testosteron
Mengenai kecenderungan anak lelaki untuk bermain di luar: Anak lelaki mengalami kitaran testosteron yang boleh menyebabkan perubahan-perubahan ketara pada umur tertentu. Pada usia empat tahun, mereka aktif dan berkelakuan kebudak-budakan. Pada usia lebih kurang 13 tahun, mereka melalui pembesaran yang cepat dan adakalanya berasa sukar untuk menyesuaikan diri. Pada usia 14 tahun, mereka akan mula mencuba perkara-perkara baru dan melangkah ke alam kedewasaan. Setiap anak lelaki unik, tetapi testosteron lah yang bertanggungjawab di atas pembesaran mereka dan membuatkan mereka aktif. Testosteron ialah hormon yang memberikan seseorang anak lelaki ledakan tenaga yang tinggi dan membuatkan dia terangsang untuk aktif bermain di luar. Ini suatu perkembangan yang sihat dan perlu difahami dan disokong oleh setiap ibu bapa.
- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Jamilah Samian seorang Certified Professional Trainer (CPT) dan aktif dalam Toastmasters International. Beliau berkelulusan Ijazah Psikologi dari Upper Iowa University (USA), Ijazah Sains Komputer dan Matematik dari Indiana State University (USA) dan Diploma Penulisan dari London School of Journalism (UK). Beliau adalah penulis buku "Cool Mum Super Dad" dan "Cool Boys Super Sons." Sebuah ungkapan yang paling beliau gemari adalah "I believe in the amazing human capacity to change for the better."

No comments:

Post a Comment

Kata_kata Hikmah

Aku teliti semua sahabat,dan tidakku temui sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah.Akufikirkan tentang pakaian,tapi tidakku temui pakaian yang lebih baik dari daripada takwa.Aku renung semua jenis amal baik,namun tidak ada yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik.aku cari segala bentuk rezki,tapi tidakku temukan rezki yang lebih baik daripada sabar..
(Khalifah Umar)