Wednesday, January 19, 2011

Jagalah Hati Pasangan

PASANGAN adalah ‘sahabat’ kita yang paling rapat dan setia. Tak kira
waktu suka, duka, pasangan kita pasti akan sentiasa berada di sisi.
Tapi seringkali kita menganggap pasangan sebagai orang terakhir yang
perlu dijaga hatinya kerana mereka pasti akan menerima kita seadanya.
Ada yang mengambil mudah dari segi percakapan dan tidak menghormati pasangan sebagai mana mereka menghormati orang lain.
Dari segi penampilan pula, ramai yang mengambil kesempatan dengan
tidak menjaga diri atau paras rupa kerana mereka tahu hakikatnya mereka
sudah mempunyai pasangan yang akan menerima mereka walau apa pun yang
terjadi.
Kalau ada yang beranggapan begitu pastikan anda ubah tanggapan
tersebut kerana pasangan kitalah orang yang paling perlu dijaga dan
hormati. Kita juga perlu tampil menarik untuk pasangan dan bukan untuk
orang lain.
Penulis berminat untuk berkongsi satu ungkapan daripada tokoh motivasi tersohor negara, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah,
ujarnya; “Jika mahu diri disayangi, beri kasih sayang kepada orang
dahulu”. Maksud lain yang dapat penulis simpulkan di sini ialah, jika
kita mahu dihargai pasangan, maka kita harus memberikan yang terbaik
kepada mereka barulah kita akan mendapat kebaikan yang sama juga.
Sesuai dengan topik kita cantik luaran dan dalaman, antara perkara
yang perlu diberi perhatian ialah berhemah apabila berbicara, tampil
dengan rupa yang menarik dan bersih serta menjaga hati pasangan dengan
baik.
Bagi yang mahu berubah namun tidak tahu caranya, panduan di bawah mungkin boleh membantu.
Pertama: Paling penting dalam perhubungan ialah komunikasi yang baik.
Seringkali kita mengabaikan komunikasi yang baik dengan pasangan.
Kata ganti nama diri seperti aku dan kau digunakan dalam perbualan
harian, padahal lebih molek jika panggilan seperti ‘sayang’ atau ‘abang’
digunakan kerana itu boleh memupuk kemesraan.
Seperti persahabatan, pasangan yang baik perlu komunikasi yang jujur.
Perlu bersedia untuk memberi pandangan, nasihat menasihati bila keadaan
memerlukan. Jika salah seorang ingin meluahkan masalah, seorang lain
perlu mendengar dengan baik.
Jangan pula cuba masuk campur dalam urusan pekerjaan dan keluarga
jika tidak diminta. Jika ada yang berkecil hati, pastikan disuarakan
dengan baik untuk mengelakkan salah faham yang lebih buruk.
Kedua: Anda dikehendaki menjadi pendengar yang setia. Bila pasangan
anda dilanda masalah sebagai contoh di tempat kerja, bersedialah untuk
menjadi pendengar dan jangan sesekali mengadili pasangan anda itu
walaupun sebenarnya anda tahu bahawa dia yang punca masalah itu.
Apa yang perlu ialah dengar dan beri nasihat secara umum sahaja.
Ketiga: Memastikan bahawa anda tidak bertepuk sebelah tangan.
Maknanya bukan anda sahaja yang menganggap pasangan anda itu perlu
dihormati, malah dia juga perlu menghormati anda.
Jika ada sahabat lain yang mengutuk pasangan anda di belakangnya,
andalah orangnya yang penuh yakin untuk menjadi pembela pasangan anda
itu.
Tetapi jika memang pasangan anda melakukan kesalahan, terus-teranglah
bahawa anda tidak selesa dia melakukan begitu, pilih perkataan yang
sesuai untuk menegur dan tegurlah dengan berhati-hati agar tidak
mengecilkan hatinya.
Seringkali kita mendengar rakan kita mengomel tentang bentuk tubuhnya yang semakin berisi dari hari ke hari.
Perkara yang amat lazim terjadi kepada wanita itu seperti lumrah terutama selepas melahirkan anak.
Memang ia amat merisaukan namun apa yang penting selain kerisauan itu
ialah tindakan segera yang perlu diambil bagi menangani masalah
tersebut.
Keempat: Laburlah sedikit wang untuk penampilan anda, tak kira sama
ada untuk menguruskan badan, mencantikkan kulit, berbaju baru dan
sebagainya semuanya ada harga yang perlu dibayar.
Namun percayalah ia adalah satu pelaburan yang baik demi perhubungan
anda. Tapi tidak kira sama ada anda lelaki atau perempuan perlulah
sama-sama mengambil berat tentang penampilan anda.
Kebersihan harus dijaga dan perlu amalkan disiplin diri. Pilihlah
pakaian yang kemas dan pastikan anda melakukannya ikhlas untuk pasangan
anda.
Jangan bila hendak ke kenduri atau berhari raya baru hendak bergaya.
Sepatutnya bergayalah di rumah kerana ada mata dan perasaan yang lebih
penting untuk dijaga.
Source: Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Kata_kata Hikmah

Aku teliti semua sahabat,dan tidakku temui sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah.Akufikirkan tentang pakaian,tapi tidakku temui pakaian yang lebih baik dari daripada takwa.Aku renung semua jenis amal baik,namun tidak ada yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik.aku cari segala bentuk rezki,tapi tidakku temukan rezki yang lebih baik daripada sabar..
(Khalifah Umar)