Wednesday, January 19, 2011

RAHSIA ANAK PINTAR

BUKAN sedikit ibu bapa yang mengidamkan anak seperti Sufiah Yusof,
24, yang memasuki universiti pada usia 13 tahun dan Adi Putra Abdul
Ghani yang mengejutkan ramai pihak kerana kemampuan menyelesaikan
masalah matematik. Tidak kurang juga yang mengidamkan anak seperti
Muhammad Ahmad Zahid yang bergelar hafiz muda pada usia 13 tahun.
Semua pasti mahukan zuriat yang pintar kerana inilah ‘tiket’ kepada
masa depan lebih cerah. Penat lelah membesarkan mereka seakan berbaloi
apabila si anak membawa pulang kejayaan. Namun, apakah mereka ini
pintar, berbakat, genius atau pun prodigy? Jangan keliru kerana inilah
takrifan sebenar keupayaan mereka berdasarkan istilah psikologi.
Seperti kata-kata ‘serupa tapi tak sama,’ pakar linguistik dan
Pengasas PTS Publications and Distributors Sdn Bhd, Ainon Mohd, berkata
masih ramai yang tidak dapat membezakan istilah sebenar ini.
“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara
kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu
menanam tekad membentuk masa depan anak”
Fadzilah Kamsah – Pakar motivasi
“Aspek berbakat, pintar dan genius adalah antara perkataan yang kerap
digunakan untuk menggambarkan kebolehan seseorang anak kecil mengatasi
usia tanpa menyedari ia sebenarnya merujuk kepada makna yang kurang
tepat.
“Genius adalah individu normal, tetapi mempunyai kebolehan
menyelesaikan masalah teknikal yang sukar atau tidak dapat diselesaikan
pakar lain. Contoh paling tepat menggambarkan seseorang yang dianggap
genius ialah Albert Einstein dalam bidang sains fizik manakala Thomas
Edison dalam bidang elektrik,” katanya yang berkelulusan ijazah sarjana
muda linguistik Universiti Malaya dan sarjana dalam bidang sama Leeds
University.
Beliau yang pernah mengikuti kursus kedoktoran dalam bidang
psikologi, berkata seseorang itu disebut genius apabila dapat
menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan mereka yang normal.
Justeru Einstein dan Edison layak digelar genius disebabkan mereka
berjaya menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan saintis dan
jurutera lain.
“Kanak-kanak yang layak digelar genius adalah kanak-kanak dapat
menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan orang dewasa. Jika tidak,
mereka setakat digelar berbakat atau pintar, bukan genius. Mereka yang
dapat menghafal al-Quran pada usia tujuh
tahun adalah berbakat, bukan genius.
“Istilah genius tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak kerana belum
ada kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah setaraf orang dewasa.
Einstein menyelesaikan masalah teori relativiti pada usia 25 tahun,
selepas lulus universiti,” katanya.
Ainon mendakwa, disebabkan genius adalah pakar dalam sesuatu bidang,
tiada kanak-kanak genius kerana anak kecil itu tidak mempunyai kepakaran
ilmu. Oleh itu, baginya, tiada kanak-kanak genius dalam bidang sains,
kejuruteraan, kedoktoran ataupun perfileman atau yang bergelar pakar
bedah.
Satu lagi istilah ‘prodigy’ yang merujuk keupayaan kanak-kanak
melakukan perkara yang hanya dapat dilakukan orang dewasa.
“Kanak-kanak pada usia lapan tahun yang dapat mengikuti pelajaran
matematik peringkat universiti atau mencipta muzik seperti pemuzik
dewasa, selayaknya digelar ‘prodigy.’ Mereka ini hanya ada dalam dua
bidang iaitu matematik dan muzik. Kanak-kanak prodigiy mempunyai
kepintaran orang dewasa dalam bidang matematik ataupun muzik saja. Dalam
lain-lain hal, mereka adalah kanak-kanak seperti budak lain,” katanya.
Persoalannya, apakah ada sebarang petua mendapatkan anak pintar ini?
Pakar motivasi terkenal, Datuk
Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata ini terletak kepada usaha
ibu bapa mencari dan memperbaiki kelemahan diri terlebih dulu selain
mengamalkan doa dan ajaran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
“Doa adalah senjata umat Islam dan sebaik kandungan mencecah empat bulan,
ibu digalakkan bacaan surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah
al-Inshirah. Bapa juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah
berkenaan dan dihembuskan ke perut isteri.
“Surah Fatihah adalah ibu al-Quran,
ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat
al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati terang dan
lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah
berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh
diteruskan sehingga anak cukup umur,” katanya.
Katanya, satu perkara perlu diingati oleh semua ibu bapa iaitu semua
anak dilahirkan pintar cuma cara merangsang yang membezakan impaknya.
Ini wujud dalam bentuk pakej iaitu mesti membetulkan hati, otak,
makanan, persekitaran dan didikan.
Beliau menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai misi
jelas dalam usaha memulakan keluarga.
“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara
kita merangsang mereka. Bagi tujuan itu, ibu bapa mesti mempunyai misi
jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak sebagai doktor
misalnya. Ibu dan bapa perlulah memupuk minat anak menjadi doktor dengan
membaca buku berkaitan perubatan sejak hamil.
“Wanita Yahudi misalnya, mendidik anak sejak dalam kandungan. Sebaik
hamil, mereka akan membuat latihan matematik, mendengar muzik dan
bermain muzik untuk merangsang perkembangan anak. Ia terbukti berkesan
dan jangan hairan jika anak-anak Yahudi dilahirkan bijak. Kita juga
boleh berbuat demikian. Malah sebagai orang Islam kita mempunyai 1,001
cara untuk membentuk anak menjadi pintar dan soleh pada masa sama,”
katanya.
Dr
Mohd Fadzilah Kamsah berkata, dia sendiri pernah bertemu
dengan seorang wanita yang tidak pernah lalai membaca sehingga satu
juzuk al-Quran setiap hari sepanjang hamil.
“Jika dia keletihan, suaminya akan menyambung membaca dan pahala
dihadiahkan kepada bayi dalam kandungan. Anak itu
dilahirkan dan membesar menjadi seorang lelaki yang bijak, pintar dan
tinggi akhlaknya. Ini bukti betapa ayat Quran dan doa cukup berkesan
dalam usaha membentuk anak pintar. Jika tidak berkesempatan mendidik
anak dari dalam perut, belum terlambat untuk berbuat demikian walaupun
mereka sudah menjejak alam persekolahan,” katanya.
Malah, baginya, antara saat paling mustajab mendidik anak ialah
‘hypnagogic moment’ iaitu masa antara anak berada dalam keadaan antara
sedar dan tidak ketika hendak tidur.
“Ketika itu, mereka seolah-olah terpukau dan apa saja yang disebutkan
ketika itu akan meresap masuk ke dalam hati. Rebut peluang untuk
membisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan ketika mereka dalam
keadaan itu dan Insya-Allah anak-anak akan menurut apa yang dikatakan.
“Waktu lain yang turut memberi impak besar kepada usaha ibu bapa
memberi didikan ialah sebelum anak-anak tidur, sedang tidur dan baru
bangun tidur. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil
mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat,” katanya.
Beliau turut menegur tindakan ibu bapa yang selalu terlanjur
mengeluarkan perkataan negatif ketika marah.
“Kata-kata itu satu doa. Anak boleh dimarah dan kena dimarah tetapi
biarlah marah itu berunsurkan positif. Jangan sesekali keluarkan
perkataan degil, keras kepala kepada anak. Sebaliknya jika mereka
melakukan sesuatu kesilapan, katakan kepada mereka: “Kamu anak baik.
Kamu anak bijak. Mengapa lakukan perkara itu,” katanya.
‘Formula Adi Putra berasaskan kiraan Islam’
IMPIAN untuk bertentang mata dengan Adi Putra Abdul Ghani, 11, tidak
kesampaian kerana dia berada di kampung neneknya yang baru meninggal
dunia. Namun peluang bertemu ayahnya memberi kesempatan mengenali siapa
sebenarnya Adi Putra yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan
sehingga kini sudah mencipta 228 formula menyelesaikan masalah
matematik.
Kisah kepintaran Adi Putra menyelesaikan masalah matematik sudah
terlalu banyak diperkatakan tetapi kali ini penulis dihidangkan dengan
sisi lain budak cerdik itu.
Menerusi paparan cakera padat, Adi Putra hanya menonjol dalam
matematik tetapi pelbagai bidang lain yang melampaui usia sebenarnya.
“Ia satu anugerah Allah yang wajar kita syukuri. Ia juga satu bukti
kehebatan Allah yang mampu memilih sesiapa saja untuk diberikan
keistimewaan biarpun makhluk itu semuda Adi Putra,” kata Abdul Ghani
ketika ditemui baru-baru ini.
Menariknya mengenai Adi Putra ialah semua formula matematiknya
berasaskan cara kiraan Islam 100 peratus dan cara penyelesaiannya
berdasarkan cakerawala, peredaran bulan, matahari, bumi serta
menggunakan semua ciptaan Allah SWT di muka bumi ini seperti bukit dan
tidak ketinggalan mengguna pakai perkiraan orang dulu.
Abdul Ghani mendakwa, kaedah pengiraan itu diiktiraf pakar
antarabangsa malah di luar negara satu formula Adi Putra dinilai
bersamaan RM1 juta dan modul sifir yang dihasilkannya bernilai berbilion
ringgit.
“Jangan anggap Adi Putra budak kecil kerana selain pintar dalam
matematik, dia juga mampu mengajar, petah berbicara walaupun ketika
ditemubual stesen televisyen antarabangsa malah tidak kekok bersama
dengan pembesar negara,” katanya.
Katanya, anaknya itu juga diiktiraf memiliki pengetahuan ilmu
matematik berusia 400 hingga 500 tahun dulu yang pernah dikuasai ilmuwan
Islam. Adi Putra bukan hanya menguasai formula matematik sebaliknya
mengkaji setiap nombor.
“Kita dianugerahkan jari dan pelbagai bentuk bantuan semula jadi
untuk mengira. Adi Putra juga menggariskan tiga perkara yang merosakkan
dan melemahkan minda umat Islam iaitu terciptanya kalkulator, Sistem
Pesanan Ringkas (SMS) dan permainan video.
“Matematik dan sains tidak dimonopoli sesuatu bangsa sebaliknya
terpulang kepada kita untuk menguasainya. Ilmuwan Islam terdahulu sudah
membuktikan betapa kita sebenarnya menguasai matematik, bukan orang
lain.
“Apa yang penting ialah bukan sekadar anak kita bijak tetapi juga
kreatif. Adi Putra mengajar budak lain untuk turut kreatif mencari
penyelesaian kepada masalah matematik dengan tempoh paling cepat,”
katanya.
Malah, kata Abdul Ghani, salah seorang pelajarnya cuma mendapat satu
markah daripada 50 soalan matematik dan selepas mengikuti kelas Adi
Putra, dia mampu memperoleh 100 peratus selepas dua hari.
INFO: Tip untuk ibu bapa
Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah
al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah.Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau
gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan
fikiran.Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan
dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.Waktu ketika anak antara sedar dan tidak. Rebut peluang bisikkan
kata-kata nasihat, pujian dan pesanan. Ambil masa seminit, dua untuk
membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat.Doakan kejayaan anak, rakan anak mereka, anak rakan dan jiran.
FAKTA: Rahsia pemakanan ilmuwan Islam
Madu – Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat.
Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati
berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan
kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia
perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan
malam.Kismis – Mengandungi zat besi yang amat diperlukan
untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk
disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat,
membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia
perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan
jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.Susu segar – Susu berguna untuk kesihatan otak,
mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu
mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat
diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk
ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu yang segar. Ia
diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.Telur – Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak,
badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli – ahli kesihatan
mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang
terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.Halia – Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah
lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang
dijadikan Dimakan sedikit saja pada waktu pagi.Buah Delima – Mujarab untuk penerang hati seperti
sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima
keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”

No comments:

Post a Comment

Kata_kata Hikmah

Aku teliti semua sahabat,dan tidakku temui sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah.Akufikirkan tentang pakaian,tapi tidakku temui pakaian yang lebih baik dari daripada takwa.Aku renung semua jenis amal baik,namun tidak ada yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik.aku cari segala bentuk rezki,tapi tidakku temukan rezki yang lebih baik daripada sabar..
(Khalifah Umar)