Wednesday, January 19, 2011

Ujian Allah

Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan
mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang
mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian
samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula
melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau
kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam
hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu. Allah
Maha Pengasih, jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk
menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik
ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan
sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui
diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah,
mengharapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan
sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu
bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada
mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya
hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala
Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk
menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat.
Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila Ujian juga
bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan
dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah
bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu). Bagi
orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat.
Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan,
kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan
redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita
tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh
dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah
Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita
di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih
dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya kita telah dihukum di
dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita
telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan
hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita.
Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan
takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta
melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan. Apabila
kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa
bagitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita
menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang
menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa
saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah diterimanya.
Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita
sayangi. Ujian ini sangaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah;
tiada kuasa untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa
kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa bangga diri. Begitulah,
sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian
itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih
belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta
segala-galanya. Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan
kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita,
dan semakin hampir kita dengan Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:“Apakah
kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi
Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata
orang-orang yang bersabar.” Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.” Allah
takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita
mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa
mengeluh, merungut atau syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita
kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya
dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali
dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk
meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian
yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke
Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah
mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para
malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku
durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab:“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.” Demikianlah,
orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila
diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji
kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang
mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak
menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji kita,
menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa
kita diuji…. Marilah kita lihat
bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid
merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid
yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera
terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk
tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di
sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir,
sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada
ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa harus berdendam?
Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula menjalankan
keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang diatidak
mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah
dirotan. Begitulah halnya dengan Allah yang Maha
Pengasih. Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik
kita.Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita.
Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada
ujian yang ditimpakan. Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh
dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari
akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar
mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah. Dan ingatlah,
andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001
jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti
merungut ketika diuji?

No comments:

Post a Comment

Kata_kata Hikmah

Aku teliti semua sahabat,dan tidakku temui sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah.Akufikirkan tentang pakaian,tapi tidakku temui pakaian yang lebih baik dari daripada takwa.Aku renung semua jenis amal baik,namun tidak ada yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik.aku cari segala bentuk rezki,tapi tidakku temukan rezki yang lebih baik daripada sabar..
(Khalifah Umar)